“Saya Sudah Bersedia Kalau Tak Boleh Bangun, Saya Akan…,” – Ayda Jebat Buka Cerita Sebenar Kejadian ‘Terpelecok’ Live di ASK2019

Meski sudah pun memberikan penjelasan mengenai insiden dirinya yang terpelecok saat membuat persembahan menerusi lagu Temberang yang turut menampilkan Santesh di Anugerah Skrin 2019 (ASK2019) baru-baru ini, namun Ayda Jebat ada memberi penjelasan terperinci mengenai punca sebenar ia berlaku.

Katanya, kasut tinggi yang dikenakan tersangkut pada bahagian seluar kembang sekali gus ia menyebabkan bintang ini terjatuh secara langsung menerusi program tahunan itu.

“Banyak kali saya tonton video terbabit dan saya perasan sebenarnya, kasut saya yang tersangukut pada hujung seluar yang dipakai yamg besar di bahagian bawahnya. Jadi tersangkut buatkan saya terjatuh.

“Kemudian saya nak cuba untuk bangun tapi tak boleh sebab tersangkut pula dengan ‘cape’ baju. Saya alihkan ‘cape’ dan sambung nyanyi.

“Sempat dengar saya gelaklah… Sebenarnya saya malu,” jelas Ayda jujur.

Ditanya sama ada dirinya ada mengalami kecederaan serius, penyanyi yang bakal muncul dengan single baru hujung bulan ini bersyukur kerana hanya mengalami lebam biasa.

“Saya jenis yang mudah dapat lebam jadi bila ia berlaku, adalah lebam sikit pada bahagian kaki. Cuma alhamdulillah, ia tak serius. Bagi saya ia satu pengalaman.

“Bila saya jatuh je… Penari pun sebenarnya tak tahu nak buat apa dan bila selesai persembahan mereka minta maaf kerana tidak tahu apa yang patut dilakukan.

“Tapi saya sudah bersedia kalau tidak boleh bangun, saya akan nyanyi dan ‘pose’ di bawah itu sajalah,” seloroh Ayda lagi.

Terdahulu, Ayda ditemui media pada majlis pelancaran Sterio Fest, iaitu festival muzik melayu pertama dan terbesar di Singapura.

Adi Media Pte Ltd yang merupakan pencipta bazar popular selebriti CelebFest serta karnival makanan dan membeli-belah, Twilight: Flea & Feast, merupakan penganjur kepada program berkenaan.

Acara yang akan berlangsung selama dua hari bermula 22 Februari depan itu turut menyampilkan kira-kira 20 artis lain dari Indonesia, Malaysia dan Singapura. Antaranya ialah Ayda Jebat sendiri, New Boyz, Zee Avi, Judika, Andi Bernadee dan ramai lagi.

Layari laman web www.stereofest.asia untuk mendapatkan informasi mengenai festival ini.

#MHvideo Nah… Ini rupanya punca Ayda Jebat ‘terpelecok’ masa nyanyi Temberang ft Santesh di ASK2019 hari tu. Yang penting tetap pro!

Leave a Comment